Baru-baru ini, ada banyak laporan mengenai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan dalam talian menerusi perkhidmatan pembersihan rumah palsu.
Penipuan ini menyasarkan pelanggan yang mencari perkhidmatan pembersihan rumah tetapi sebaliknya akaun bank mereka pula digodam. Mangsa mengalami kerugian sehingga RM20,000 dan ia berlaku dalam masa beberapa minit sahaja.
Penipu-penipu ini menyebabkan kerosakan besar dan menyakitkan hati mereka yang cuma mencari bantuan untuk rumah mereka disebabkan sibuk.
Oleh itu, kami telah melakukan intipan dan menyamar sebagai pelanggan. Inilah apa yang berlaku:
Table of Contents
Bagaimana penipuan pembersihan bermula
Penipuan bermula dengan iklan di Facebook. Pelanggan yang sedang melayari Facebook akan nampak iklan-iklan perkhidmatan pembersihan rumah yang tampak serupa dengan jenama yang boleh dipercayai.
Iklan-iklan ini menawarkan harga yang sangat rendah kepada pelanggan kali pertama bagi menarik pelanggan.
Semasa menjalankan siasatan, kami telah menemui lebih 7 iklan yang berlainan dari syarikat-syarikat pembersihan yang berbeza. Mereka juga menggunakan harga serupa iaitu RM30 untuk kerja pembersihan selama 4 jam, lantas menjadikannya tawaran yang sukar untuk ditolak.
Atas: Contoh penipuan pembersihan rumah yang kami temui dalam iklan Facebook
Dari apa yang kami lihat, sebuah halaman Facebook dan iklan Facebook untuk penipuan dicipta setiap 2 atau 3 hari. Tetapi mereka juga menutupnya dengan agak cepat iaitu hanya dalam masa beberapa minggu sahaja. Walaupun dalam masa singkat sebegitu, banyak kerosakan boleh dilakukan kepada mangsa yang tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku.
Apa yang berlaku jika anda membalas iklan palsu
Semua iklan yang kami temui akan meminta anda untuk menekan butang pelancaran sembang WhatsApp.
Dalam sembang tersebut, seorang “wakil jualan” akan menerangkan lebih lanjut mengenai tawaran RM30 itu dan cara untuk membuat tempahan perkhidmatan mereka.
Penipu akan meminta anda untuk membuat tempahan dengan memasang aplikasi mudah alih mereka. Kemudian mereka akan menyediakan pautan untuk diklik yang akan memasang aplikasi itu ke dalam telefon anda.
Namun begitu, apa yang anda pasang ke dalam telefon anda sebenarnya bukanlah aplikasi tempahan. Apabila dipasang, aplikasi penipu ini boleh membaca semua mesej SMS anda. Secara asasnya, tanpa anda sedari anda sebenarnya telah memasang perisian hasad ke dalam peranti anda.
Apabila anda melancarkan aplikasi, ia akan meminta anda untuk mendaftar akaun baru. Kemudian, ia akan menunjukkan kepada anda borang tempahan untuk memasukkan tarikh bila anda mahu pembersihan dilakukan. Ia kemudian akan menyambungkan anda kepada “skrin pembayaran” di mana anda boleh memilih untuk membayar dengan kad kredit atau FPX.
Pilihan kad kredit tidak akan tersedia akibat isu teknikal yang sebenarnya tidak benar, jadi anda terpaksa memilih pautan pemindahan dalam talian “FPX” yang disediakan aplikasi.
Atas: Aplikasi pembersihan palsu akan memaksa anda untuk memilih FPX sebagai kaedah pembayaran dan akan menyambungkan anda ke halaman yang nampak seperti bank sebenar tetapi sebenarnya direka untuk mencuri nama pengguna dan kata laluan anda.
Kemudian, anda akan diminta untuk memilih bank untuk melakukan pemindahan. Ini akan membawa anda kepada laman rerumah bank palsu di mana anda akan diminta untuk memasukkan nama pengguna dan kata laluan anda.
Jika anda cuba dan memasukkan nama pengguna dan kata laluan bank sebenar anda, ia akan dihantar kepada penipu. Mereka dengan cepat akan menggunakannya untuk log masuk ke dalam akaun bank sebenar anda.
Selepas itu, apabila sistem bank sebenar menghantar SMS kata laluan sekali (OTP) ke telefon anda untuk pengesahan, aplikasi perisian hasad ini akan memintasnya dan menghantarnya kepada penipu. Maksudnya, mereka sekarang memiliki akses kepada akaun bank anda dan boleh memindahkan duit daripada akaun anda.
Bagaimana Mengesan Penipuan Pembersihan Rumah
Mudah untuk mengesan penipuan pembersihan palsu ini jika anda tahu apa yang hendak diperhatikan. Sebelum membuat tempahan daripada syarikat pembersihan yang anda tidak pernah dengar sebelum ini, pastikan anda memeriksa perkara berikut:
Berapa ramai pengikut Facebook mereka?
Sebelum anda klik iklan Facebook penipu, klik nama syarikat di atas iklan untuk melihat halaman Facebook mereka. Semasa saya memeriksa halaman Facebook untuk salah satu iklan, saya nampak halaman tersebut baru sahaja dibuat beberapa hari lepas dan tiada atau hanya ada kurang daripada 10 pengikut.
Sebaliknya, syarikat sah yang telah beroperasi selama beberapa tahun dan menjalankan pengiklanan Facebook akan berusaha untuk menambah jumlah pengikut mereka.
Nota sisi: Recommend.my mempunyai hampir 150,000 pengikut Facebook dan kami telah beroperasi selama lapan tahun.
Adakah mereka wujud di luar Facebook?
Syarikat pembersihan yang betul akan mempunyai sebuah laman web dengan cara berbeza untuk berhubung dengan mereka seperti menerusi emel, panggilan telefon atau WhatsApp.
Mereka juga ada dalam senarai perniagaan Google Maps iaitu penyenaraian direktori perkhidmatan seperti Recommend.my dan akaun media sosial yang lain.
Semua akaun ini akan mempunyai aktiviti terkini (seperti hantaran terkni serta komen daripada pengikut).
Mereka juga mempunyai ulasan pengguna. Contohnya, penyenaraian perniagaan Google Maps mereka harus ada ulasan.
Adakah mereka ada pendaftaran syarikat yang betul / nombor SSM?
Sebarang entiti perniagaan akan memaparkan nombor SSM pada laman web mereka. Biasanya ia berada di bahagian paling bawah laman web. Nombor SSM bermaksud bahawa perniagaan tersebut telah melalui semua proses sepatutnya dan proses perundangan untuk disahkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Bolehkah anda membayar menggunakan kad kredit?
Aplikasi penipu tidak membenarkan saya untuk membayar menggunakan kad kredit kerana ia mahu saya menggunakan laman perbankan palsu mereka.
Borang tempahan pembersihan rumah dalam talian yang betul akan mempunyai beberapa kaedah pembayaran termasuk kad kredit, GrabPay, Boost dan sebagainya.
Dan jika membayar dengan kad, selalulah gunakan kad kredit anda berbanding kad debit. Ini kerana pembayaran kad kredit dilindungi oleh VISA atau Mastercard dan anda ada 90 hari untuk melaporkan penipuan atau pertikaian sebarang transaksi yang anda tidak lakukan. Perlindungan konsumer di platform ini adalah tinggi.
Tetapi jika anda menggunakan kad debit, wang ditolak serta-merta daripada akaun bank anda, menjadikannya amat sukar untuk bank mendapatkan wang tersebut jika transaksinya palsu.
Bolehkah anda memasang aplikasi mudah alih mereka dari Google Play Store atau Apple App Store?
Dalam penipuan di atas, penipu menghantar kepada kami pautan di mana kami boleh memasang aplikasi mudah alih mereka untuk membuat tempahan.
Tetapi jika anda mempunyai telefon Android, anda sepatutnya hanya memasang aplikasi dari Google Play Store. Begitu juga jika anda menggunakan iPhone Apple, anda seharusnya hanya memasang aplikasi dari Apple App Store. Jika syarikat tersebut menghantar pautan yang tidak mengandungi google.com atau apple.com dalam URL, besar kemungkinan ia adalah aplikasi palsu.
Jika aplikasi tidak tersedia di Google Play Store atau Apple App Store, ia boleh membawa maksud yang ia telah ditolak oleh Apple atau Google kerana mengandungi perisian hasad.
Adakah tawaran itu terlalu bagus untuk dipercayai?
Jika tawarannya nampak seperti terlalu murah, besar kemungkinan yang ia tak betul walaupun ia disebut sebagai tawaran kali pertama untuk pelanggan baru. Dalam contoh penipuan di atas, mereka menawarkan 4 jam pembersihan untuk RM30 yang mana adalah mustahil. Harganya tidak boleh dipercayai dan tak berbaloi untuk mana-mana tukang cuci mendapatkan rezeki yang cukup.
Tempah Perkhidmatan Pembersihan Rumah Yang Dipercayai di Malaysia
Kami harap butiran di atas akan membantu anda untuk mengesan aplikasi pembersihan palsu yang cuba menggodam akaun bank anda.
Bagi mengelakkan daripada ditipu, penting untuk menempah hanya daripada syarikat pembersihan yang telah bertapak serta mempunyai pendaftaran syarikat dan penyenaraian dalam direktori dipercayai dengan ulasan pelanggan dan gambar serta kemaskini yang kerap di media sosial mereka.
Sebagai platform perkhidmatan kediaman dan tempatan #1 di Malaysia, Recommend.my juga menawarkan perkhidmatan pembersihan rumah mengikut permintaan. Anda boleh menempah menerusi laman web kami atau menerusi aplikasi mudah alih (ya kami ada di Plat Store dan App Store).