Jubin digunakan untuk melindungi lantai atau dinding di kebanyakan rumah di Malaysia, biasanya digunakan di bilik mandi dan dapur.
Dan untuk sebab yang baik juga. Jubin bersifat kalis air apabila direkatkan dengan betul. Ia juga bertahan lama, dan membolehkan anda mencipta rekaan di rumah anda tanpa had. Ada bermacam-macam warna, tekstur dan saiz jubin lantai untuk dipilih, termasuk cara susunan mozek yang boleh dilakukan oleh anda.
Namun begitu, kepelbagaiannya juga menjadikan anda sukar untuk memilih jubin lantai yang sesuai untuk rumah anda. Selepas anda memilih reka bentuknya, anda juga akan mengalami masalah jika anda mengupah kontraktor yang tidak berpengalaman untuk memasangnya.
Mengapa jubin lantai sangat popular di rumah-rumah di Malaysia?
Ketahanan: Jubin dikenali kerana sifatnya yang kukuh dan tahan lama. Apabila ia dijaga dan dipasang dengan betul, jubin boleh bertahan untuk jangka masa panjang tanpa sebarang perubahan pada warna atau bentuknya.
Penyelenggaraan: Salah satu poin jualan terbesar jubin adalah penyelenggaraannya yang rendah. Ia bukan sahaja memerlukan penyelenggaraan yang amat sedikit, malah jubin lantai juga tahan haba, air, tumpahan dan kesan kotoran. Biasanya, sabun dan air pun sudah cukup untuk membersihkan lantai berjubin anda. Jika salah satu jubin anda sumbing atau retak, jubin itu boleh diganti.
Emisi: Jika anda bimbang mengenai tekanan terhadap bahan kimia berbahaya, jubin mengeluarkan hanya sedikit atau tiada sebatian organik mudah meruap (VOCs) yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Ini kerana semua jubin dibakar di dalam tanur bersuhu tinggi, yang mana telah membuang kebanyakan VOCs yang ada bersama-samanya.
Tahan Api: Tidak seperti lantai kayu, laminat atau vinil, jubin dibakar di dalam tanur pada suhu yang tinggi. Ini mencipta sebuah produk yang tidak mudah terbakar sejurus ia dipasang.
Reka bentuk: Sebab terpenting dalam memilih jubin adalah terletak pada kepelbagaian reka bentuknya. Pemilik kediaman yang lebih menyukai lantai pusam yang bersih boleh memilih bidur jubin yang besar dalam nada kelabu.
Bagi pemilik kediaman yang lain pula mungkin mahu mencipta jubin lantai mozek seperti yang ditemui pada gereja Eropah dan rumah Peranakan. Anda juga mungkin inginkan dinding utama di mana jubin dinaikkan untuk memberikan kesan 3D bertingkat. Apa sahaja rupa yang anda mahukan, sentiasa ada reka bentuk jubin yang sesuai dengan keperluan anda.
Jenis-jenis jubin
Terdapat tiga jenis jubin lantai – seramik, porselin, dan jubin homogen. Seramik dan porselin digunakan dalam pengubahsuaian kediaman, sementara jubin homogen digunakan dalam ruang komersil.
Jubin seramik terbentuk daripada tanah liat semulajadi, pasir dan air. Bahan-bahan ini diacu untuk membentuk segi empat atau segi empat tepat sebelum dibakar di dalam tanur bagi membuang hampir semua kelembapannya.
Jubin seramik sebahagian besarnya digunakan untuk bilik seperti ruang tamu dan bilik tidur. Direka untuk digunakan di dalam, jubin seramik juga sesuai dipasang sebagai jubin dinding kerana keringanannya. Ia lebin ringan serta boleh didapati dalam kemasan kilat dan pusam. Ia juga dianggap sebagai jubin paling asas dan paling murah di antara ketiga-tiganya.
Menurut Pengarah Urusan Citicon Ceramic, Joe Chew, “Jubin yang lebih ringan lebih digemari untuk dinding bagi mengurangkan risiko tertanggal. Semakin kecil jubin, semakin bagus ia melekat”.
Jubin porselin juga diperbuat daripada tanah liat, pasir dan air. Walau bagaimanapun, kepadatan tanah liat yang digunakan dalam jubin porselin adalah lebih tinggi berbanding yang digunakan untuk seramik.
Jubin porselin dibakar pada suhu yang sangat tinggi untuk jangka masa panjang supaya hampir semua kelembapannya dibuang. Tanah liat yang lebih padat dan masa mengering yang lebih lama menjadikan jubin porselin semakin kuat dan tahan berbanding seramik.
Jubin porselin boleh didapati dalam pelbagai warna, reka bentuk dan permukaan. Ia bukan sahaja datang dalam permukaan berkilat dan pusam, ia juga memiliki penampilan unik seperti permukaan bergula di mana ia boleh memantulkan cahaya yang menyinarinya.
Jubin porselin amat serba guna kerana ia boleh bertahan daripada jumlah pergerakan kaki yang banyak serta lebih tahan haus dan lusuh. Ini menjadikan ia sesuai untuk dipasang sama ada di dalam atau pun di luar rumah selain penggunaan tugas komersil yang ringan mahu pun yang sederhana. Jubin porselin biasanya ditemui di bilik mandi, dapur, anjung dan balkoni.
Jubin homogen turut dikenali sebagai jubin tugas berat, dan kebanyakannya digunakan dalam penggunaan komersil untuk tempat-tempat seperti pusat membeli-belah, lapangan terbang dan hospital, di mana terdapat banyak pergerakan kaki.
Sebagaimana namanya, jubin ini tidak mempunyai tekstur yang banyak hiasan atau reka bentuk dan kebanyakannya datang dalam satu warna. Ia lebih kuat dan lebih tahan lama, ia juga lebih mahal berbanding jubin porselin.
Jenama jubin yang popular boleh ditemui di Malaysia ialah White Horse, Guocera, Kimgres, Alpha, Venus, MML, Niro, Johnson, dan Feruni.
Di mana jubin dipasang dalam rumah anda
Oleh kerana jubin adalah sangat tahan lama dan kalis air, ia paling bagus berada dalam bilik mandi. Lantai dan dinding di sekeliling pancuran dan kawasan tab mandi merupakan kawasan terbaik untuk penggunaan jubin.
Apabila memasang jubin lantai di kawasan lembap seperti bilik mandi, ingat untuk meminta jubin dengan tahap tahan gelincir yang tinggi.
Lokasi semulajadi seterusnya adalah di dapur. Banyak kaunter dapur berusia dibina sebagai platform konkrit yang dibaluti jubin. Kebanyakan kaunter ini masih kuat walaupun selepas 30 tahun! Namun begitu, sebagai ganti menjubin kaunter, dapur-dapur pada masa kini menggunakan jubin pada lantai dan backsplash.
Walau bagaimanapun, jubin tidak terhad kepada bilik mandi dan dapur sahaja. Banyak harta tanah lebin suka menggunakan jubin porselin tugas berat pada jalan masuk rumah untuk penyelenggaraan minimum. Begitu juga dengan balkoni. Untuk sentuhan Peranakan, anda boleh memasukkan jubin hiasan sekali-sekala di atas muka pintu atau sepanjang backsplash dapur.
Bagaimana jubin dipasang
Proses pemasangan jubin yang betul adalah termasuk:
- Menakik: Jika jubin sedia ada diganti, ia perlu dibuang,
- Pengalisan air: Membran kalis air dicat pada sublantai dan dibiarkan kering. Pengalisan air diperlukan untuk kawasan lembap dan di luar seperti bilik mandi, kolam renang, kawasan belakang rumah, atau balkoni,
- Lapis / pengarasan: Menambah lapisan simen untuk membuat lapisan lantai,
- Pemasangan: Jubin dipasang dengan meletakkan mortar (atau thinset) pada lantai dan bahagian bawah jubin. Thinset bertindak sebagai perekat yang memaut jubin kepada lantai. Kaedah sama ini digunakan untuk meletakkan jubin pada dinding. Untuk perekatan dan pengeringan yang lebih bagus, kontraktor akan menggunakan thinset terubahsuai yang mengandungi polimer lateks (dikenali sebagai susu gum)
- Penurapan: Grout digunakan untuk mengisi sela di antara jubin
- Merekat: Grout direkatkan untuk menjadikannya kalis air
“Sesetengah pemilik mungkin meninggalkan proses pengarasan untuk menjimatkan kos, tetapi ia berisiko kerana sublantai yang tidak rata boleh menyebabkan penahanan air dan akhirnya membawa kepada retakan, melengkok atau jubin menjadi tidak rata,” – Joe Chew, Citicon Ceramic
Berapakah kos memasang jubin di Malaysia?
Seperti semua perkhidmatan pengubahsuaian, kerja-kerja pemasangan jubin dikira menerusi bahan dan buruh. Walau bagaimanapun, bayaran buruh mengambil kos yang tinggi kerana kemahiran yang diperlukan dalam pemasangan jubin.
Jubin seramik 30cm x 30cm berharga sekitar RM1.80 sekeping, sementara jubin porselin dengan saiz yang sama berharga RM2. Sekadar untuk perbandingan, jubin homogen tugas berat dengan saiz yang sama boleh mencalai harga RM2.70 sekeping. Jadi, bilik mandi biasa dengan ukuran 60 kaki persegi meletakkan kos kira-kira RM120, hanya untuk jubin sahaja.
Menurut Chew, kontraktor lazimnya memasukkan kos jubin ke dalam jumlah bayaran, dan mengira pemasangan dengan jumlah kaki persegi kawasan. Ini menjadikan harga pemasangan jubin bermula dari RM8 kepada RM12 untuk satu kaki persegi, bergantung kepada jenis jubin yang dipilih. “Biasanya, semakin besar saiz jubin, maka kosnya juga semakin tinggi,” katanya.
Kos ini termasuk bahan-bahan binaan seperti mortar dan buruh untuk pemasangan, serta pembuangan sampah selepas itu.
Sudah tentulah ada jubin premium buatan tangan yang boleh mencapai RM40 sekeping. Tetapi, ia terhad kepada jubin hiasan, lukisan tangan yang biasanya dijumpai di rumah-rumah Peranakan.
https://www.facebook.com/lawahomeliving/videos/1770481746586023/
Reka bentuk jubin yang popular
Terdapat banyak reka bentuk. Jadi, sukar untuk mengatakan yang mana satu paling popular.
Bertahun-tahun dahulu, jubin lebih kecil dalam corak jubin mozek menjadi trend. Tetapi, menurut Chew, trend masa kini di kediaman rakyat Malaysia adalah jubin lantai besar dengan corak mozek yang lebih kecil digunakan dalam jumlah yang sedikit.
Sebab mengapa perkara ini berlaku adalah untuk mengurangkan garis turap yang boleh menjadi kotor. Garis turap yang kurang menjadikan bilik tampak lebih besar. Namun, kelemahannha adalah jubin yang lebih besar boleh jadi lebih licin memandangkan tiada garis turap untuk menambah lebih cengkaman pada kaki anda. Oleh itu, pastikan anda memasang jubin dengan ketahanan gelincir yang tinggi pada bahagian yang sering digunakan.
Saiz lazim bagi jubin untuk bilik mandi dan ruang tamu ialah 80cm x 80cm sementara 60cm x 60cm digunakan biasanya untuk dapur. Untuk bilik mandi, 30cm x 60cm adalah pilihan yang popular.
Bagi reka bentuk jubin pula, jubin yang menyerupai batu semulajadi dan marmar merupakan pilihan popular di kalangan pemilik kediaman. Chew berkata ini disebabkan oleh ramai pemilik kediaman yang menggunakan jubin untuk membawa suasan semulajadi dalam kediaman mereka.
Namun demikian, terdapat juga reka bentuk jubin baharu yang menyerupai kayu. Jubin jenis ini menjadi popular kerana pemilik kediaman mahu mencipta rekaan dalaman gaya Scandinavia dalam rumah mereka. Ia menggabungkan lantai berwarna kayu keras yang muda, walaupun di dapur.
Tetapi, memandangkan mereka tidak mahu kesusahan dalam menyelenggara lantai kayu, ramai memilih jubin dengan reka bentuk kayu.
“Jubin dengan penampilan seperti kayu boleh dipasang di kawasan dengan kelembapan tinggi seperti bilik mandi tanpa had kayu sebenar,” – Joe Chew, Citicon Ceramic
Kerana semua jubin adalah tahan lama, maka faktor utama ketika membeli jubin adalah harga jubin lantai tersebut. “Pilih apa yang berada dalam bajet anda. Sudah tentu apabila anda mempunyai bajet yang besar, maka anda juga mempunyai pilihan yang lebih luas di mana pelbagai reka bentuk dan tekstur dapat ditawarkan kepada anda,” katanya.
Sentiasa ingat untuk memeriksa kemasan jubin apabila anda sedang membeli jubin. “Anda mungkin perlu melihat kepada kehalusan cetakan reka bentuk dan teksturnya. Jika anda memilih sesuatu yang seperti kayu atau batu, periksa tahap keserupaannya kepada kayu atau batu yang sebenar,” katanya lagi.
Walaupun begitu, apabila mereka bentuk rumah anda dengan jubin, kecantikan sebenar hanya boleh dilihat ketika ia dipilih dan dipasang dengan betul. Jadi, pastikan anda memahami ciri-ciri jubin yang sedang dipilih, dan dapatkan kontraktor pemasangan jubin profesional di Malaysia untuk melakukannya untuk anda.
Wow so cool … Nice colour slot of disign..