Pilihan Lantai Kayu Rumah di Malaysia

Lantai adalah ruang yang paling besar di dalam rumah anda dan mudah terdedah kepada kesan rosak dan lusuh.

Ini kerana, kesan rosak dan lusuh berlaku apabila anda kerap berjalan di atasnya, akibat anda mengheret/mengalihkan perabot ataupun anak-anak anda menjatuhkan mainan berat di atas lantai.

Oleh itu, lantai anda perlu mempunyai ciri ciri yang mampu tahan lama. Lantai yang kukuh dan terjaga boleh membuat perbezaan yang besar terhadap rumah anda dan meningkatkan nilai jualan semula rumah anda.

Dengan semua faktor-faktor ini untuk dipertimbangkan, proses pemilihan bahan binaan lantai untuk rumah anda sememangnya satu tugas yang susah dan mengelirukan, lebih-lebih lagi apabila terdapat banyak pilihan yang ada di pasaran.

Lantai lamina di ruang tamu rumah
Lantai lamina di hadapan rumah di Petaling Jaya. Reka bentuk oleh Posh Home

Jenis lantai kayu (dan kayu sintetik)

Jenis lantai yang paling banyak digunakan di rumah-rumah di Malaysia adalah lantai kayu, lantai lamina, lantai vinil, jubin, simen, dan marmar.

Tetapi jika anda ingin menghiasi dalaman rumah anda berdasarkan tema Scandinavia atau Bali, lantai kayu adalah pilihan yang paling sesuai sekali.

Dalam artikel di bawah, kita akan membandingkan jenis-jenis lantai kayu yang berbeza yang boleh digunakan oleh setiap pemilik rumah, seperti kayu keras dan kayu tereka bentuk. Kami juga akan menghuraikan bahan-bahan lantai yang direka untuk menyerupai kayu (kayu sintetik), seperti lantai lamina dan lantai vinil.

Pakar lantai kayu untuk anda
Sama ada lantai jenis kayu keras, lamina, atau vinil, pakar-pakar lantai kayu kami sedia membantu untuk mencantikkan dalaman rumah anda. Dapatkan sebut harga apabila anda membuat pesanan di Recommend.my.

Lantai kayu keras (hardwood flooring)

Apa itu lantai kayu keras (hardwood flooring)?

Lantai kayu keras adalah, seperti namanya, diperbuat daripada 100% batang kayu tulen. Jenis lantai ini datang dengan pelbagai jenis pilihan berdasarkan spesies pokok kayu tersebut antaranya, Balau, Nyatoh, Merbau, Kempas, Cengal, Jati Burma dan Belian.

Terdapat juga spesies lain seperti kayu dari pokok Ash, Beech, White Oak, Tasmanian Oak, Russian Pine dan Walnut. Beberapa spesies pokok ini, seperti Merbau, Jati Burma, dan Belian, terkenal dengan ciri-ciri yang istimewa seperti anti anai-anai, yang membuatkan pokok ini sangat berharga dan tahan lama.

Papan kayu keras untuk lantai kayu di rumah Malaysia
Papan kayu keras

Pilihan yang ada

Lantai kayu keras terdapat dalam bentuk jalur (strip), papan (planks) dan parket (parquet). Segmen lantai kayu berbentuk jalur (strip) biasanya berukuran kira-kira 1 ½ ke 2 ¼ inci lebar manakala lantai kayu berbentuk papan (planks) mempunyai ukuran permukaan yang lebih lebar. Lantai parket (parquet) pula terdiri daripada dua petak individu yang membentuk corak geometri.

Ketahanan

Lantai kayu keras sememangnya terbukti dari segi ketahanan dan tidak mudah rosak meskipun telah digunakan dalam tempoh masa yang lama. Oleh kerana itu, kebanyakan rumah-rumah lama dan tradisional (yang menggunakan lantai kayu keras) masih mengekalkan kecantikannya walaupun ratusan tahun telah berlalu. Malahan, jenis kayu ini akan matang dan menjadi lebih cantik jika dijaga dengan baik.

Namun begitu, kayu jenis ini juga boleh tercalar ataupun kemek. Jadi bagi menjaga lantai yang menggunakan jenis kayu keras, sebaiknya pemilik rumah perlu menggunakan permaidani ataupun karpet bagi mencegah kerosakan dan meredam sebarang bunyi hentakan yang berlaku terhadap lantai tersebut. Selain itu, penggunaan aksesori seperti pelekat pelindung atau sarung kaki kerusi juga boleh membantu mengelakkan kesan calar pada lantai.

Reka Bentuk

Oleh kerana lantai kayu keras berasal dari kayu yang tulen, setiap keping kayu tersebut akan mempunyai corak yang berbeza. Anda juga akan dapat lihat tekstur, warna dan corak kayu yang berlainan bergantung kepada spesis kayu yang digunakan.

Setelah dipasang, anda boleh memberikan sentuhan tambahan terhadap lantai kayu keras tersebut dengan menggunakan bahan pewarna yang sesuai dengan citarasa anda, tetapi ramai yang memilih untuk mengekalkan warna asal lantai kayu keras mereka.

Papan kayu keras diperbuat oleh kayu keruing untuk lantai rumah
Papan kayu keras diperbuat oleh kayu keruing. Sumber

Penjagaan dan Penyelenggaraan

Lantai kayu keras boleh diberikan kemasan baru menggunakan kertas pasir bagi mengubah corak asal kayu atau diwarna berulang-ulang kali. Ini bermakna, anda boleh menukar rupa lantai anda sepadan dengan hiasan dalaman rumah jika anda ingin melakukan pengubahsuaian terhadap rumah. Walau bagaimanapun, harus diingati bahawa lantai kayu keras anda akan menjadi semakin nipis jika anda kerap menggilap lantai tersebut.

Selain itu, Lantai kayu keras boleh dibersihkan dengan mudah menggunakan penyapu dan pembersih vakum. Sekali sekala, anda juga boleh menggunakan cecair pencuci lantai kayu.

Tahap Keselesaan

Lantai kayu keras akan sedikit sebanyak mengeluarkan bunyi apabila anda berjalan diatasnya dan boleh menyebabkan gangguan bunyi kepada jiran anda, terutama jika anda menghuni bangunan tinggi seperti kondominium dan apartmen.

Lantai kayu keras sesuai digunakan di semua bilik kecuali bilik mandi atau di kawasan yang mudah lembap. Secara amnya, lantai kayu keras yang dipasang di lokasi (on-site finishing) akan mempunyai perlindungan yang lebih baik dari kelembapan berbanding lantai kayu pra-siap (pasang siap). Ini kerana, jika lantai kayu tersebut dipasang di lokasi, sealant lantai yang digunakan mampu mengisi ruang rongga antara kayu dan lantai asal dan dapat menghalang air daripada meresap ke dalam ruang rongga tersebut.

Ringkasan

Kelebihan: Tahan lama; corak yang menarik; mudah untuk dibersihkan; mempunyai pelbagai pilihan; boleh diubahsuai berulang kali berdasarkan citarasa anda.

Kelemahan: Harga yang tinggi; mengeluarkan bunyi; terdedah kepada kesan calar dan kemek; sukar untuk dipasang; tidak sesuai untuk bilik-bilik berkelembapan tinggi.

Harga

Harga bermula dari RM22 / kaki persegi untuk kerja pemasangan dan pembekalan lantai kayu keras. Namun, harga ini mungkin berubah bergantung kepada jenis kayu yang digunakan.

Lantai kayu keras adalah jenis yang paling mahal jika dibandingkan dengan lantai lain yang menggunakan bahan seperti kayu tereka bentuk, lamina atau vinil. Walau bagaimanapun, lantai kayu keras boleh meningkatkan nilai jualan semula hartanah anda.

Lantai Kayu Tereka Bentuk

Apa itu kayu tereka bentuk

Lantai kayu tereka bentuk diperbuat daripada beberapa lapisan papan lapis. Kemudian, lapisan papan lapis tersebut akan di ditambah dengan satu lapisan kayu keras yang berukuran 3mm di bahagian permukaan atas dan bawah (dikenali sebagai lapisan venir).

Lantai kayu tereka bentuk adalah alternatif yang popular untuk lantai kayu keras kerana ia menawarkan rupa bentuk dan corak yang hampir sama tetapi datang dengan harga yang lebih murah. Lantai jenis ini juga lebih mudah dan cepat untuk dipasang.

Papan kayu tereka bentuk dengan lapisan venir dan papan lapis
Papan kayu tereka bentuk menunjuk lapisan venir di atas dan lapisan papan lapis di bawah

Pilihan yang ada

Lantai kayu tereka bentuk datang dalam bentuk papan dan biasanya dilengkapi dengan ciri ciri mudah pasang seperti bucu sisi serong. Lantai jenis ini boleh dipasang menggunakan gam atau secara floating system (papan tidak disambungkan dengan lantai asal atau antara satu sama lain). Disebabkan cara pemasangan yang fleksibel, proses pemasangan lantai jenis ini lebih pantas dan lebih mudah untuk dibaiki sekiranya perlu.

Penjagaan dan Penyelenggaraan

Jika anda lebih suka untuk mempunyai rumah yang kelihatan teratur dan terjaga sepanjang masa, jenis lantai ini kurang sesuai untuk digunakan kerana ianya mudah terdedah kepada kesan calar dan kemek, sama seperti lantai kayu keras. Namun begitu, sesetengah pemilik rumah menjadikan kesan calar ini sebagai sebahagian daripada corak yang datang dengan lantai tersebut atau sebagai sentuhan unik setiap rumah. Selain itu, anda juga mempunyai pilihan untuk membaik pulih kesan calar dan kemek menggunakan floor wax repair kit.

Lantai kayu tereka bentuk boleh digilap dengan dengan kertas pasir dan diberikan kemasan baru. Tetapi oleh kerana ia hanya mempunyai satu lapisan nipis kayu keras sahaja, sebaiknya anda tidak menggilap lantai ini lebih daripada tiga kali sepanjang jangka hayat produk.

Bahan jenis ini sesuai untuk semua bilik, termasuk kawasan di mana kelembapan berkumpul, kerana selagi subfloor anda dipasang dengan betul, anda akan dapat menghalang kerosakan akibat kelembapan.

Ringkasan

Kelebihan: Cantik; tahan lama; mudah untuk dipasang; sesuai untuk semua bilik.

Cons: Mudah tercalar dan kemek.

Harga

Dari RM20 / kaki persegi untuk kerja pemasangan dan pembekalan lantai kayu tereka bentuk. Harga ini bergantung kepada jenis venir kayu keras digunakan.

Lantai lamina

Apa itu Lantai lamina?

Lantai kayu lamina datang dalam bentuk papan yang panjang dan terdiri daripada cantuman beberapa lapisan kayu.

Lapisan bawah adalah lapisan sokongan, yang membantu untuk menghalang kelembapan. Lapisan di atasnya pula adalah isi dalaman lantai lamina yang diperbuat daripada gentian kayu mampat yang dicampur dengan resin untuk membuatkan ianya lebih kukuh.

Lapisan seterusnya berfungsi sebagai pemberi corak atau ‘karakter’ kapada kepingan lantai lamina tersebut. Corak ini akan bergantung kepada jenis bahan yang anda mahukan seperti imej kayu, marmar, batu; apa sahaja yang anda suka! Teknologi percetakan yang canggih pada masa kini membuatkan lantai lamina kelihatan amat sama berbanding kayu yang sebenar sehinggakan pakar juga akan menghadapi kesukaran untuk membezakan antara lantai kayu yang tulen dan lamina.

Akhir sekali, lapisan paling atas ialah lapisan pelindung lutsinar yang keras untuk melindungi lantai anda daripada kesan calar, rosak ataupun lusuh.

Papan lantai lamina menunjuk lapisan dalamannya
Papan lantai lamina menunjuk lapisan dalamannya. Sumber

Reka bentuk

Pemilik rumah mempunyai pilihan yang luas untuk jenis reka bentuk yang ada seperti corak kayu keras, corak batuan semula jadi dan corak seramik.

Oleh kerana lantai lamina mempunyai lapisan pelindung di bahagian atas dan lapisan tahan kelembapan di bahagian bawah, lantai ini sesuai untuk dipasang di kawasan seperti bilik air, dapur dan bilik dobi.

Lantai lamina rumah yang tahan calar
Berbanding dengan lantai kayu keras dan kayu tereka bentuk, lantai lamina adalah jenis tahan calar

Penjagaan dan Penyelenggaraan

Lantai lamina adalah pilihan yang semakin popular dalam kalangan pemilik rumah kerana ianya lebih mudah untuk diseleggara dan kos untuk dipasang lebih rendah berbanding bahan-bahan tradisional seperti lantai kayu keras. Ianya juga tahan lama, bersih (beberapa jenama lantai lamina menawarkan resin antimikrob) dan tahan lama.

Bahan jenis ini tidak boleh digilap, tetapi mana-mana kepingan yang rosak boleh digantikan dengan mudah.

Ringkasan

Kelebihan: Harga yang berpatutan; tahan lama; mempunyai pelbagai pilihan; bersih dan mudah untuk dibersihkan,tahan lama dan mudah untuk diganti untuk tujuan pembaikan.

Harga

Dari RM6.50 / kaki persegi untuk kerja pemasangan dan pembekalan lantai lamina, bergantung kepada reka bentuk yang dipilih.

Lantai vinil

Apa itu lantai vinil?

Lantai Vinil atau lantai PVC diperbuat daripada cip polyvinyl chloride berwarna (PVC) yang dimampatkan sehingga menjadi kepingan pejal dan utuh. Lantai ini mempunyai ketebalan yang berbeza-beza bergantung kepada haba dan tekanan yang digunakan semasa proses pembuatan.

Lantai vinil boleh didapati dalam bentuk papan (planks), lembaran (sheets) dan jubin (tiles).

Lantai ini boleh dipasang dengan mudah di atas lapisan licin yang ada pada kebanyakan jenis lantai dengan menggunakan pelekat vinil atau pelekat jubin mudah bentuk. Ini menjadikan lantai Vinil sesuai untuk dipasang di subfloor yang mempunyai kesan retak atau yang cenderung untuk bergerak.

Lantai vinil juga terdapat dalam bentuk papan mudah pasang-sendiri kerana lantai ini boleh disambungkan tanpa gam atau paku dengan menggunakan sistem ‘interlocking’ atau ‘tape-down’.

Sesetengah Jubin vinil juga dilapisi dengan lapisan ‘wax’ untuk penggunaan komersial. Jubin ini boleh ditukar ganti dengan mudah apabila rosak asalkan anda mengamalkan pemasangan yang betul.

Pemasangan lantai vinyl
Memasang lantai vinil. Sumber

Reka bentuk

Lantai vinil merupakan pilihan ekonomikal yang boleh didapati dalam pelbagai warna dan tekstur yang menyerupai kayu, batu, terazo, konkrit dan reka bentuk lain. Ianya dilengkapi dengan ciri estetika yang cantik dan memerlukan penyelenggaraan yang sangat minimum.

Ketahanan

Bahan jenis ini mempunyai ciri-ciri tahan geseran/kikisan dan tidak mudah rosak. Anda juga boleh berulang kali mengaplikasikan kemasan baru apabila perlu, menggunakan ‘chemical strippers’ dan peralatan mekanikal yang sesuai. Ia juga mempunyai permukaan yang lebih lembut berbanding dengan kayu dan jubin lantai, menjadikannya lebih selasa untuk anda berdiri di atas lantai ini dalam tempoh yang lama.

Lantai vinil merupakan pilihan yang popular bagi kebanyakan pemilik rumah kerana ia juga tahan kotoran dan kelembapan. Ini menjadikan lantai vinil amat sesuai untuk digunakan di bilik mandi, dapur, dobi dan kawasan yang digunakan orang ramai.

Memasang lantai PVC di ruang dapur untuk lantai rumah
Memasang lantai PVC di ruang dapur

Penjagaan dan Penyelenggaraan

Kelemahan lantai vinil adalah ianya akan berubah warna jika ia dipasang di kawasan yang mendapat cahaya matahari secara terus. Oleh itu, Lantai vinil tidak disyorkan untuk kegunaan luar. Bahan yang diperbuat daripada getah, seperti tikar lantai, juga boleh menyebabkan perubahan warna kepada lantai jenis ini.

Pemilik rumah dinasihatkan untuk mencari lantai vinil yang diperbuat daripada bahan bukan toksik dan tidak berbahaya kepada alam sekitar dan kesihatan. Ini adalah untuk mengelakkan anda dari membeli sesetengah jenama lantai vinil yang boleh menjejaskan kualiti udara dalaman rumah anda. Lantai ini mempunyai potensi untuk meruapkan kompaun berbahaya, yang boleh menjejaskan kesihatan.

Lantai vinyl mempunyai tekstur yang lembut untuk kaki
Jika anda kerap mengguna ruang dapur, lebih baik untuk memasang lantai vinil yang bertekstur lembut untuk kaki. Reka bentuk oleh Meridien Inspiration

Ringkasan

Kelebihan: murah; tahan lama; mudah untuk dipasang; tahan kotoran dan kelembapan; boleh diaplikasikan kemasan lantai berulang kali.

Kelemahan: risiko perubahan warna; sesetengah jenama lantai vinil boleh menimbulkan kesan bahaya kepada kesihatan.

Harga

Dari RM6 / kaki persegi untuk lantai bercirikan kayu (papan) dan RM8 keatas untuk lantai bercirikan rekaan batu dan marmar (jubin). Harga ini termasuk untuk kerja pemasangan dan pembekalan bahan. Walau bagaimanapun, kos mungkin bertambah jika keadaan lantai asal tidak licin atau tidak sama rata. Kos tambahan akan diperlukan untuk mengisar / menggilap lantai atau menambah bahan kimia bagi meratakan permukaan lantai asal.

Perlukan sebut harga untuk lantai kayu?

Dapatkan kontraktor pengubahsuaian, pereka dalaman dan pakar-pakar lantai di Recommend.my. Hantarkan kepada kami permintaan kerja renovasi rumah anda dan dapatkan beberapa sebut harga daripada kontraktor profesional yang berkelayakan. Semak contoh kerja mereka, baca ulasan pelanggan terdahulu, dan pilih kontractor yang tepat untuk rumah atau pejabat anda.